Pilihan raya Dewan_Rakyat_Malaysia

Ahli-ahli Dewan Rakyat berkhidmat selama maksimum lima tahun bagi satu-satu sesi parlimen. Selepas itu pilihanraya mesti diadakan bagi memilih ahli-ahli baru. Pembubaran parlimen hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

Pengundi-pengundi akan memilih seorang wakil rakyat daripada setiap 222 bahagian pilihan raya.[30][31] Pilihanraya di Malaysia dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang keahliannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.[32] Pemenang pilihanraya selalunya ditentukan menggunakan prinsip majoriti tertinggi - calon yang mendapat undi terbanyak berbanding calon-calon lain - yang turut diamalkan di dalam sistem berparlimen ala Westminster.[33]

Pilihanraya umum terakhir yang telah diadakan di Malaysia ialah pada 5 Mei 2013.

Pembentukan kerajaan

Parti politik atau gabungan parti-parti politik yang memenangi kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berhak untuk membentuk kerajaan yang baru. Kerajaan akan diketuai oleh seorang ahli parlimen yang memiliki sokongan majoriti dewan dan beliau dipanggil Perdana Menteri. Namun begitu, Perdana Menteri Malaysia tidak dilantik oleh ahli-ahli parlimen. Jawatan ini hanya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan mengikut budi bicara baginda unuk memilih seorang ahli Dewan Rakyat yang dirasakan mendapat sokongan terbanyak ahli-ahli di Dewan Rakyat. Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak (Pekan-BN).

Lihat juga: Perdana Menteri Malaysia untuk senarai Perdana Menteri Malaysia.

Mengikut tradisi berparlimen Westminster, seorang ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan terbanyak golongan minoriti di parlimen akan memain peranan sebagai Ketua Pembangkang. Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia Ke-12 ialah Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh-PKR). Beliau telah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Beliau menggantikan Ketua Pembangkang terdahulu, Ahli Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatannya pada 31 Julai 2008. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan wanita pertama di Malaysia yang diberi penghormatan menjawat jawatan sebagai Ketua Pembangkang.[34] Selepas Pilihan Raya ke-13 iaitu pada 5 Mei 2013, sekali lagi Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang apabila Pakatan Rakyat (Gabungan PKR-DAP-PAS) berjaya memegang 89 daripada 222 kerusi parlimen, iaitu sebanyak 40.09%.

Pilihan raya kecil

Mengikut Undang-undang Pilihanraya, jika seseorang Ahli Parlimen terpaksa mengosongkan kerusinya dengan apa jua sebab sekalipun sewaktu Dewan Rakyat berada di awal sesi perkhidmatannya dan tidak kurang daripada dua tahun sebelum dewan terbubar, satu pilihan raya kecil perlu diadakan bagi memenuhi kekosongan tersebut. Jika kekosongan itu berlaku kurang dari dua tahun sebelum dewan terbubar pula, pilihanraya kecil hanya boleh diadakan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memastikan bahawa sokongan majoriti terhadap parti kerajaan telah terjejas.[35] Proses dan penganjuran satu pilihan raya kecil adalah sama seperti pilihan raya umum dijalankan. Kebanyakan pilihan raya kecil adalah kurang penting kerana kerajaan seringkali memiliki majoriti stabil di Dewan Rakyat. Namun begitu, pilihan raya kecil boleh dijadikan kayu pengukur terhadap prestasi semasa kerajaan.

Rujukan

WikiPedia: Dewan_Rakyat_Malaysia http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2008/3/... http://www.parlimen.gov.my/ http://www.parlimen.gov.my/dR-maklumatumum.htm http://www.parlimen.gov.my/jawatankuasa-dr.html?uw... http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/umum/25117-... http://spr.gov.my/index/bahagian19v.htm http://pru14.spr.gov.my/#!/home http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua... http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua... http://wikisource.org/wiki/Perlembagaan_Persekutua...